Pages
▼
Tuesday, March 22, 2016
Kerana Islam - Ustaz Fadzil Abdullah
Perkongsian Perjalanan Memeluk Islam daripada Ustaz FaDzil AbdulLah (Facebook).
MOHD FADZIL BIN ABDULLAH
Rakan Ziarah,Unit Ukhuwah,
PUSAT DAKWAH ISLAMIAH,
Paroi, 70400 SEREMBAN,
N,Sembilan D.K
KERANA ISLAM
Pada 4 september 2007, jam 9.00 pagi saya terus hidupkan kenderaan dan terus menuju ke Pejabat Agama Islam Tampin. Setelah sampai di bangunan pejabat agama, saya pun bertemu petugas di kaunter pertanyaan dan menyatakan hasrat untuk memeluk islam.
Beberapa minit kemudian, seorang ustaz telah bertanya kepada saya “kenapa kamu nak peluk islam?” saya tergamam dengan soalan itu, saya tak tahu nak jawap apa, saya cuma kata, saya mahu berubah. Waktu saya sebut perkataan “berubah” itu saya telah dihampiri oleh seorang lagi ustaz yang nampak sudah berusia, lantas ustaz itu pula berkata “Alhamdulilah..hari ini Allah sudah mahu kamu hijrah”. Perkataan ‘hijrah’ ini masih kedengaran dalam gegendang telinga saya hingga hari ini walaupun pada hari itu ianya perkataan yang baru untuk saya.
Selepas segala dokumen ditandatangani saya pun dibawa masuk ke bilik syahadah. Didalam bilik itu ada 4 orang lagi ustaz dan seorang juru kamera untuk merakamkan detik syahadah saya. Saya diajar cara syahadah dan diperjelaskan maksud syahadah, ASHHADU ALLAA ILAAHA ILLALLAH WA ASHHADU ANNA MUHAMMADAR RASULULLAH. Selepas 2 kali lafaz kalimah syahadah saya disalam oleh ustaz-ustaz dan ramai lagi staf-staf dalam pejabat. Ada yang kata “sekarang kamu pun saudara kami”. Setelah ambil gambar dengan bersongkok buat kali pertama, kebetulan ada 2 orang lagi yang peluk islam pada hari itu, kami 3 orang diraikan dibawa makan dibawa ke masjid buat kali pertama kaki saya pijak masjid. Waktu solat kami hanya ikut saja perbuatan orang orang di saf hadapan kami. setelah selesai masing masing balik ke destinasi masing masing.
Dalam perjalanan pulang macam macam fikiran datang bersoal dengan diri. Bagaimana saya nak beritahu emak dan adik beradik di kuala lumpur bahawa saya sudah peluk islam, emak dan adik beradik yang lain amat kuat pegangan agama hindu. Dapatkah mereka terima saya lagi? Atau….saya telah buat keputusan tidak mahu beritahu emak dan adik beradik yang lain, biar mereka mengetahui dari sumber yang lain. Pastinya suatu hari nanti mereka tetap akan tahu, ini bisikan hati saya.
2 bulan berlalu, apabila saya kembali dari kebun getah milik emak, saya ternampak kereta adik perempuan, kereta abang dan adik laki saya berada di anjung rumah, hati saya berdebar-debar seolah –olah seperti mereka sudah tahu hal yang saya rahsiakan. Sejurus saya hentikan motosikal emak, adik perempuan dan abang saya merenung tajam kepada saya, dan saya sudah faham akan pasti mereka sudah tahu.
Emak terus berkata, ‘kami mahu kau keluar dari islam’ inilah ungkap pertama dari emak. Abang dan adik perempuan hanya diam, mereka pun kenal sangat dengan saya,mereka tahu saya tak akan dengar cakap emak dan mereka seolah-olah telah berbincang dahulu apakah yang emak perlu cakap untuk buat saya keluar dari islam. Saya dengan tegas telah nyatakan “emak dari tahun 2000 sejak berpisah dengan bekas isteri dan 2 orang anak hingga kini saya hidup seorang diri, walaupun ada emak dan adik beradik tapi saya rasa macam yatim piatu pulak, hari- hari makan di kedai, bila balik rumah saja macam masuk dalam bilik kurungan gelap, tiada sesiapa pun dalam rumah,tiada siapa pun hiraukan saya ,saya dah bosan dengan hidup begini, saya kena ubah cara hidup saya” lantas emak pun berkata “ apa yang kau tak cukup dalam hidup ini? Ada kami larang kau berkawin? Kau yang tak mahu kawin, semua perempuan kau tak mahu kau bandingkan dengan bekas isteri kau. Sekarang kau masuk melayu ni nak kawin dengan perempuan melayu kan? Apa kurangnya perempuan india kenapa sampai perempuan melayu yang kau cari?”
Saya jawab lagi” emak saya masuk islam bukan untuk kawin perempuan melayu tapi saya mahu belajar satu agama dengan sempurna, selama ini saya tak percaya tuhan ini boleh dilihat seperti tuhan tuhan selain tuhan orang islam, saya mahu hidup tenang, saya tak mahu rasa rumah yang baru saya bina ini jadi macam penjara yang sunyi untuk saya” emak memotong cakap saya “ kalau ya pun kenapa mesti islam tidak agama yang lain saja kau peluk” saya mati akal untuk jawap soalan emak, lantas saya berkata “ saya tak akan keluar dari islam dan saya mahu belajar agama ini”
terus emak pun berkata “ kalau kau tak mahu keluar dari islam, mula saat ini aku tak mahu kau duduk diatas tanah aku, aku tak mahu kau ambil hasil getah, kau tak perlu lagi untuk uruskan ladang getah aku, semua pekerja aku boleh bayar gaji, kereta-kereta,motor-motor yang ada dirumah ini, yang ada atas nama aku dan atas nama kau, kau kena lepaskan kepada aku , tanah felda yang dulu mendiang bapa kau, wariskan atas nama aku dan kau, akan aku potong nama kau yang sebagai pewaris kedua, biar aku jadi pewaris tunggal” sementara aku tukar nama adik perempuan kau.
Saya terus ambil dompet, 2 helai jubah dan sepasang kurta pakistan lalu saya masukkan dalam beg dan berjalan keluar dari rumah yang saya bina dengan wang persaraan tentera hampir 120K , saya hilang hala tuju, saya terus berjalan ke masjid, dalam perjalanan saya terfikir dalam masa 2 bulan ini bermacam-macam perkara aneh Allah tunjukkan didepan mata saya tetapi kenapa dalam hal pemelukan islam ini Allah tidak bantu saya, tidak buat ahli keluarga saya semua sekali terus bersetuju..?
pada hari itu soalan ini tidak terjawab namun kini selepas 7 tahun, selepas mendalami islam di dalam program-program yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan serta program oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan yang menghantar saya menuntut ilmu di Pusat Dakwah Islamiah ,Paroi dan di Institut Dakwah Islamiah PERKIM, Pengkalan Chepa, Kelantan serta menjalani latihan dengan Jemaah-jemaah dakwah dari pelbagai organisasi melengkapkan diri saya untuk memahami hal-hal berkaitan agama dan dunia.
Hidayah milik Allah, sedangkan para nabi pun hadapi situasi ini, contoh terdekat junjungan kita Nabi Muhammad saw yang banyak dibantu oleh bapa saudaranya Abu Talib Namun demikian, Abu Talib mati tanpa hidayah, kefahaman hidayah Allah ini, kita tidak mampu untuk fahamkan sesiapa pun tentang hidayah melainkan dengan bantuan Allah SWT.Inilah jawapan yang saya tidak faham pada hari saya dihalau dari rumah 7 tahun yang lalu, Kalaulah emak dan adik beradik saya pun diberi hidayah Allah tiada apa lagi yang mahu. Kini Emak sudah tahu walaupun telah 7 tahun saya memeluk islam saya masih jugak bujang tidak pun bernikah dengan wanita melayu seperti kata emak dulu.
Ada banyak kisah saya ceritakan pada emak pada hari saya dihalau,Namun emak tidak mahu dengar kenyataan saya antaranya, saya nyatakan perlahan lahan apa yang saya lalui dari hari ke5 selepas saya memeluk islam. Pada waktu itu jam 10 pagi,saya sudah selesai menoreh getah hanya menunggu untuk mengumpul susu cair yang terdapat dalam mangkuk yang menahan getah.tiba-tiba langit mendung hitam, kedengaran rintisan hujan yang mula berguguran, orang-orang yang menoreh di bahagian pedalaman sudah mula beransur meninggalkan kebun getah mereka.ada yang menjeri berkata “ Fadzil, hujan lebat lah, kau tunggu apa tu,baliklah…memang tak akan sempat untuk kutip susu cair tu sebab hujan makin lebat ni” hati saya bertambah gelisah kerana susu getah yang saya toreh bakal hanyut dek hujan . Tak tahu apa yang perlu saya buat bila cuaca tidak memihak kepada saya. Saya tadahkan tangan lalu saya berdoa “ Ya Allah, aku sudah menoreh dengan letih, habislah susu getah aku ini akan dihanyutkan oleh air hujan, Ya Allah, selamatkan susu getah aku, aku tak pandai berdoa, aku ada banyak perkara perlu dibuat, tolonglah aku Ya Allah”
Keajaiban berlaku keesokan harinya, Ya, dalam sebuah felda yang ada lebih daripada 500 pemilik ladang getah, namun yang menimbang hasil getah hanya saya seorang. Semua kebun getah telah disirami hujan yang lebat,susu getah mereka semuanya telah hanyut dek hujan kecuali kebun saya seorang sahaja tiada setitik air pun dalam mangkuk getah,ianya amat mengejutkan seluruh felda dan menjadi buah mulut penghuni felda.hari itu hanya saya seorang sahaja yang menimbang getah. Kejadian membuatkan saya terfikir tentang maha kuasanya Allah.
Selepas kejadian ini, setiap hari ada saja perkara pelik yang berlaku menambahkan keyakinan saya kepada Allah. Dalam masa 2 minggu hati saya sudah mula mahu mensyukuri Allah dengan perbuatan iaitu saya mahu solat tapi saya masih tidak tahu solat dan malu nak bertanya. Akhirnya saya kuatkan diri terus ke masjid felda. Setiba dimasjid saya nyatakan pada imam masjid saya telah memeluk islam, imam minta pengesahan saya sudah islam lalu saya tunjukan surat syahadah saya. Pada hari itu, saya disuruh berada di saf akhir dan meniru sahaja perbuatan para Jemaah dihadapan.setiap hari saya solat di masjid, seawal jam 5 pagi saya dah tunggu ketibaan para Jemaah untuk dirikan solat subuh.
Masuk minggu ke4 saya islam,saya telah berkenalan dengan seorang cikgu sekolah yang juga aktif dalam Jemaah dakwah dan tabligh. Cikgu itu beritahu saya bahawa saya perlu belajar Sunnah nabi saw dan cara ibadat nabi saw. setiap malam selepas isyak saya akan ikut cikgu untuk menghadiri perjumpaan Jemaah dakwah dan mempelajari Iqra dalam bulan itulah kali pertama saya iktikaf dimasjid selama 3 hari. Banyak masa saya habiskan untuk agama. Kehidupan menjadi tenang, rasa bosan sudah hilang. Terasa masa saya bermanafat .Namun demikian , penerang penerangan begini apabila saya beritahu emak dan adik beradik mereka seolah-olah tidak percaya. Selepas saya keluar dari rumah saya menuju ke masjid, kebetulan bertemu dengan cikgu.
Saya beritahu cikgu tentang pertemuan saya dengan emak abang dan adik perempuan saya dan saya dihalau kelauar. Cikgu suruh saya keluar dakwah 40 hari dahulu, lalu saya pun dibawa ke Seremban dan seterusnya saya iktikaf di masjid sri petaling dan syura dakwah Malaysia telah arahkan Jemaah kami pergi ke Parit Raja, Johor. Setelah balik khuruj,saya khidmat di masjid sri petaling, saya hanya diberi makan, minum dan tempat tidur. Saya memnbantu tukang masak pelajar tahfiz di masjid sri petaling.walaupun bekerja setiap kali bila ada panggilan kursus di pusat dakwah paroi saya akan pergi.
Pada tahun 2011 saya telah masuk belajar di institute dakwah islamiah PERKIM, Pengkalan Chepa, Kelantan, telah tamat pengajian pada 2014, kini sedang bertugas sebagai RAKAN ZIARAH, apabila ada saja orang mahu memeluk islam saya akan syahadahkan. Insha Allah, pertengahan 2015 ini saya buat ijazah pengajian islam di University Kebangsaan Malaysia.
Islam ini bukan seperti kita tonton dalam tv atau yang kita lihat dipersekitaran kita tetapi islam wajibnya dipelajari yakni menuntut ilmu dan mengamalkan islam secara istiqamah.
Inilah sedikit ujian dan cabaran yang saya lalui hingga kini yang belum selesai kerana emak dan adik beradik masih tidak dapat menerima saya. Dalam tiap solat yang saya dirikan pasti saya akan mohon hidayah islam untuk semua ahli keluarga saya walaupun mereka tidak mahukan saya.
Dikesempatan ini saya juga memohon doa dari semua pembaca agar emak dan semua darah daging saya diberikan hidayah islam.
Sekian terima kasih
Mohd Fadzil
Assalamualaikum.
ReplyDeleteJust want 2share a story of hardship after syahadah.
https://m.youtube.com/watch?v=aTIBC80cBAQ
Btw Allah says;
أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ
Al-`Ankabūt:2 -
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
***
Amin.. (utk doa ust fadzil)
Dr. Zakir Naik Terengganu Tour
Deletethis April
http://blogbicaracinta.blogspot.my/2016/03/blog-post.html?m=1