Pages

Sunday, July 5, 2020

HIDUP MATI

4444

Kalau orang cina nampak nombor plat kereta ni.. mesti geleng kepala dan cakap itu nombor "MATI MATI MATI MATI". Sebab dalam bahasa mandarin bunyi nak sebut "mati" sama dengan "empat" 😅

Waktu kecil lagi memang mak saya akan marah teruk kalau saya tersebut "mati" , "Choiii" jawab mak saya untuk menghalau sebarang nasib malang (choiii = touch wood).. Sebab dalam masyarakat cina sangat pantang dalam menyebut sebarang perkataan yang membawa bunyi "mati" dan seumpamanya. Hanya banyakkan mencakap benda yang elok dan baik2 saja..



Jadi bila ada pantang larang ni.. lama kelamaan kami jarang memikirkan pasal "kematian" ataupun kemungkinan saudara yang usia tinggi akan "meninggal". Hari2 fikir pasal hidup saja.. Mahu kaya, mahu banyak duit, mahu gadgets la pergi travel la..

Sehinggalah saya memeluk Islam, saya perasan dari ceramah dan kuliah ustaz pula banyak menyebut pasal "mati". Bila sebut "mati" barulah membawa kepada topik akhirat, dosa pahala, apakah ibadat yang kita buat sebelum "mati" dan apakah pembalasan yang bakal terima selepas "mati"..

Orang Islam tak takut mati.
Kalau Muslim "mati" dalam memperjuangkan peperangan demi selamatkan nyawa umat dan menegakkan Islam, itu kira "mati syahid".

Kalau Muslim yang berbuat baik dan menjaga ibadah, insyaAllah syurga menanti selepas "mati".

Sehinggalah jika ada saudara terdekat "mati", Muslim akan terima dengan hati yang tenang bahawa ini adalah ketentuan Allah SWT, ajalnya sudah sampai.

Dari perbezaan budaya ini boleh menampakkan Allah SWT sentiasa memberikan peringatan kepada kita bahawa duniawi hanyalah sementara, ia seumpama persinggahan yang singkat sebelum kita menempuh akhirat yang kekal selama-lamanya. Jadi "mati" ni bukannya suatu perkara yang patut kita berasa takut sehingga lupa kewujudannya.. Malah ada manusia yang cuba mengejar kemewahan kehidupan sampai "lupa mati".

Allah SWT berfirman dalam al-Qur'an,

Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
(Al-Anbiyaa' 21:35)

Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).
(Az-Zumar 39:42)

Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, kami berikan behagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.
(A-li'Imraan 3:145)

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
(A-li'Imraan 3:185)

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)".
(Al-Jumu'ah 62:8)

Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.
(Al-Munaafiquun 63:11)

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum wbt and welcome to my blog...
May contact me via 012-3979998 or email lifemualaf@gmail.com if you have any private message.

Note: Only a member of this blog may post a comment.