Pages

Saturday, February 11, 2017

Ikhwan Ng berdakwah melalui 'bakkwa'




Sebarang Order boleh hubungi : 012-3979998


Artikel ini disiarkan dalam Metro Harian pada : Jumaat, 13 January 2017
http://www.hmetro.com.my/node/196733

Kusyi Hirdan
kusyihirdan@gmail.com


Penulis memang sering melihat makanan ini apabila ke pasar raya atau melalui kawasan tumpuan masyarakat Cina. Daging salai. Ia berwarna kemerah-merahan dan berbentuk segi empat serta nipis. Ia dipanggil bakkwa. Di Indonesia ia dipanggil dendeng Cina.

Melihat ciri-ciri lahiriahnya, memang ia seperti masakan resipi dendeng apabila keadaannya sedemikian nipis. Di Medan dan Jakarta, pernah merasa daging dendeng yang digoreng nipis setelah diperap dan rasanya sedap namun teksturnya agak keras.

Sebenarnya cara menghasilkan bakkwa tidak sama dengan masakan dendeng yang perlu ditumis dan dimasak lama jika mengikut resipi versi Malaysia. Daging salai bakkwa ini menggunakan daging cencang, diperap dengan bahan perisa, diratakan supaya menipis di dalam bekas dan kemudian dibakar.

Selalu hati tertanya-tanya, bagaimanakah rasa bakkwa ini terutama apabila ia daripada daging ayam? Tapi hajat itu dipendam saja kerana tahu ia tidak halal.

Apabila mengetahui sudah ada keluaran yang halal, tentu saja ingin merasanya. Ia dijual oleh Ikhwan Ng, yang berpusat di Taiping, Perak.

Jenuh juga merancang pertemuan dengan Ikhwan supaya dapat mendengar sendiri dia bercerita mengenai bakkwa ini. Namun jarak antara kami membuatkan ia tidak mudah direalisasikan sehinggalah pertengahan Oktober tahun lalu apabila penulis ke Taiping kerana menganjurkan program ziarah amal dan menceriakan wad 14, Hospital Taiping.

Kunjungan ini dimanfaatkan untuk bertemu Ikhwan dan bakkwanya.

Bakkwa halal untuk semua

Sembang mengenai bakkwa, rupanya makanan tradisi masyarakat Cina itu bukan sekadar makanan atau perniagaan sampingannya saja. Bagi lelaki ini ia juga adalah dakwah.

Ikhwan yang memeluk Islam pada usia 23 tahun berasa dengan makanan ini, orang akan tahu mengenai dirinya. Dari situ orang bukan saja dapat menikmati makanan Cina halal tetapi juga mengikutinya di laman sosial yang sering menjadi medan kecilnya untuk berdakwah.

Di ruang sama dia berkongsi pengalaman sebagai mualaf dan perjalanan suka duka yang dilaluinya. Ia ditulis daripada versinya yang datang daripada keluarga Cina dan kini sudah menjadi Muslim, dua versi kehidupan yang berbeza. Dia berkongsi juga penerimaan orang Cina dan Muslim terhadapnya yang pelbagai warna serta ragam.

Bapa kepada seorang anak itu berasakan berdakwah boleh saja melalui apa-apa medium walaupun melalui makanan.

“Ikhwan Ng’s Halal Delight bukanlah untuk mencari glamor tetapi sebagai dakwah kecil saya. Orang akan tahu adanya pilihan halal. Tak perlu risau lagi. Seterusnya mereka akan kenal saya pula dan membaca tulisan saya,” katanya.

Kini kita boleh saja menghadiahkan bakkwa halal kepada rakan berbangsa Cina pada Tahun Baharu Cina sama ada mereka Muslim atau tidak. Ia boleh menjadi pengikat hubungan berbilang bangsa dan agama di negara kita.

Ikhwan memang tahu, ramai yang mahu mencuba bakkwa tetapi mereka tiada pilihan halal. Selama dua bulan ini, dia dapat menjual kira-kira 800 paket bakkwa daripada pembeli di seluruh Malaysia.

“Bakkwa atau daging salai saya ini dimasak sehingga 80 peratus tanpa pengawet. Ia kemudian dibungkus dalam plastik yang sudah divakum terlebih dulu untuk memastikan ia tahan lama. Sebelum ini memang susah nak dapat yang halal. Sekarang mudah malah boleh secara dalam talian saja,” katanya.

Cara memasaknya, menurut Ikhwan, bakkwa sekadar dipanaskan di atas api kecil dalam kuali tanpa minyak untuk beberapa minit saja. Ia juga boleh dipanaskan dalam ketuhar, selepas itu ia sedia dimakan. Ia sesuai sebagai hadiah dan juga dibawa kembara.

Bagi masyarakat Cina, bakkwa ialah hadiah sesuai diberi pada tahun baru. Ia sesuatu yang istimewa. Tetapi kini ia mudah didapati sepanjang tahun.

“Yang terkenal ialah perasa manis madu asli. Produk saya ada perasa kari hijau juga. Bakkwa ini boleh dimakan dengan nasi, roti, bubur atau dimakan begitu saja. Harganya RM40 hingga RM45 untuk 500 gram,” katanya.

Di laman sosialnya, Ikhwan sering mempromosi daging salai ini. Melihat interaksi sesama pengikutnya, mereka juga sering tertanya-tanya mengenai produk ini dan mahu merasanya apabila tahu ia halal. Ia bukan saja mendapat pertanyaan daripada orang Melayu malah daripada mualaf juga. Kini mereka sudah ada pilihan.

Mengkaji Islam

Selain bercerita mengenai bakkwa, tentu saja topik bagaimana Ikhwan mendapat hidayah ditanya oleh penulis. Dia terbuka untuk bercerita tetapi mengakui, walaupun keluarganya mengetahui pilihannya terhadap Islam, majoriti kawannya tidak tahu penghijrahannya itu.

Pada pendapat penulis, Ikhwan mahu betul-betul bersedia sebelum dia berdepan dengan persoalan daripada orang lain berkenaan keputusannya. Dia tidak mahu dikata masuk Islam tetapi dadanya kosong.

“Boleh dikatakan saya berahsia kerana mahu menjaga keimanan dan keselamatan diri. Di peringkat awal, kita pun baru belajar. Bukan semua orang bukan Islam boleh menerima kawan atau ahli keluarga mereka yang memeluk Islam. Lagipun, saya baru saja dengan Islam pada 2008. Jadi saya mahu dalami Islam dulu sebelum umumkan kepada semua orang.

“Pada sekitar 2010 dan 2011, saya mula dedahkan identiti sendiri sebagai seorang Muslim kepada umum dan menulis blog. Tujuan saya untuk menjelaskan salah faham yang sering ditanya oleh mereka yang bukan Islam. Saya sudah lebih bersedia berhadapan kawan lama. Sekiranya mereka berdebat dengan saya mengenai Islam, saya sudah boleh menjawab dengan berhemah dan berilmu,” katanya.

Dia kini sentiasa mencari peluang untuk berdakwah walaupun sebelum memilih Islam, Ikhwan ialah ‘free thinker’ atau atheist.

“Keluarga memang kuat dengan agama Buddha dan waktu kecil saya hanya mengikut apa yang dibuat keluarga. Hidup saya memang dikelilingi masyarakat Cina saja kerana sekolah pun sekolah Cina. Hanya di tingkatan enam saya bercampur sebab masuk ke sekolah kebangsaan.

“Menjelang dewasa saya menjadi ‘free thinker’ atau tidak percayakan agama kerana saya tak nampak mana satu agama yang betul. Yang saya tahu, semua agama pun, kalau kita ada sedikit syak, kita tak boleh bertanya sebaliknya kena terima saja tanpa apa-apa penjelasan. Atau sebab ia dilakukan oleh nenek moyang jadi kita kena ikut. Jangan tanya dan pertikai,” katanya.

Undang-undang sebegitu tidak boleh diterima oleh Ikhwan kerana dia mahu penjelasan dan keyakinan. Dia mahu bertanya dan bertanya. Kemudian, apabila semakin matang, Ikhwan mula membuat perbandingan agama kerana hatinya masih mencari. Hatinya tidak tenang. Satu perbezaan Islam yang dia nampak waktu itu ialah tiadanya berhala. Dia nampak sesuatu yang berlainan. Hatinya mula yakin, itulah agama yang benar.

Allah memberi hidayah-Nya kepada Ikhwan. Sedikit demi sedikit, dia melihat kebenaran sebuah agama yang suci. Dia tahu salah faham sebelum ini bukan kerana kesilapan pada agama tetapi pada manusia.

Agama Islam sudah serba sempurna.
“Paling penting, menjadi Islam tidak bermakna saya menjadi lain. Saya masih orang Cina, bercakap Cina, makan makanan Cina dan beridentiti Cina. Cuma sekarang saya Islam dan mengikuti peraturan serta undang-undang Islam. Saya masih sambut Tahun Baru Cina selagi ia tidak termasuk acara keagamaan. Saya masih boleh menjadi anak yang baik kepada ibu bapa walaupun mereka memang sukar menerima pada awalnya,” katanya.

Cerita Ikhwan, untuk dia menerima Islam pun bukanlah perkara yang senang. Ada perkara yang tidak dipersetujuinya dahulu iaitu kenapa apabila masuk Islam tidak boleh keluar semula?

“Kenapa pula orang Islam tiada hak memilih agama lain? Sebagai atheist saya tidak suka sesuatu yang memaksa seperti itu. Itu ketika saya belum mengenali Islam sebenarnya. Waktu itu bagi saya semua agama sama saja sebab semuanya pun menyuruh berbuat perkara baik. Agama lain boleh saja kalau nak keluar masuk agama dan pilih agama lain. Islam tak boleh. Kenapa? Kemudian saya sedar, kerana Islam agama yang sebenarnya maka kita tidak boleh keluar daripadanya. Saya pun mengucap dua kalimah syahadat untuk menjadi Muslim dan inilah pilihan saya selama-lamanya kerana sudah menemui kebenaran hakiki,” katanya.


1 comment:

Assalamualaikum wbt and welcome to my blog...
May contact me via 012-3979998 or email lifemualaf@gmail.com if you have any private message.

Note: Only a member of this blog may post a comment.