Tuesday, March 8, 2011

Komen Terpilih : Steven Sia & Mimpi Bertemu Rasulullah saw

"Komen Terpilih" adalah komen yang saya berasa amat bermakna dan lebih elok dikongsikan kepada pembaca kalian. 


Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) – adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:” Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

(Ali Imran : 7)

Sebenarnya Steven Sia adalah orang yang bagus dalam mencari kebenaran dalam agama, saya sungguh menghormatinya dalam setiap komen yang diberikan oleh beliau. Setelah membaca komen yang ditulis dalam post saya Mimpi Bertemu Rasulullah saw, baru saya teringat sesuatu yang amat penting.

Sebenarnya mimpi itu bukan sekadar mimpi, dan saya juga disuruh jangan berkongsi mimpi itu kepada orang yang tidak beriman. Maka itulah kesilapan saya yang terbesar dalam berkongsinya dalam blog, terutamanya apa yang sebenarnya terjadi adalah tidak mampu dijelaskan dengan tulisan manusia dan akal fikiran yang sungguh terhad. Ia bukan sahaja mendatangkan fitnah kepada agama malah mengelirukan pembaca.

Orang Islam telah beriman bahawa Al-Quran itu Kalimatullah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW, penulisannya telahpun dibuktikan oleh sasterawan Arab sendiri bahawa tiada penulisan yang lebih tinggi dan hebat daripada Al-Quran. Tetapi Al-Quran tetap dihina dan diputarbelitkan oleh pihak yang jahil lagi kafir, seumpama Al-Quran itu agama yang diada-adakan oleh manusia ataupun tahayul. Maka sekiranya Al-Quran yang diturunkan sebagai mukjizat kepada alam semesta juga dipandang hina oleh orang yang tetap tidak beriman, apakah daya saya untuk membuktikan kebenaran mimpi itu walaupun ia juga merupakan salah satu mukjizat. 

Oleh kerana saya tidak mampu menggambarkan sesuatu yang benar-benar berlaku dengan penulisan manusia yang serba lemah, saya telahpun padamkan apa yang dikongsi dalam post itu supaya tidak tertimbul fitnah dan kekeliruan pembaca. (Terutamanya artikel itu ditulis beberapa bulan sebelum memeluk Islam) Juga selepas dua tahun lebih mendalami Islam, saya telah mengetahui sebenarnya apa yang saya diberitahu adalah ayat Al-Quran semata-mata, iaitu atas keizinan Allah SWT Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu (Al-Kahfi : 45), saya dipermudahkan urusan kehidupan dengan pentunjuk yang diberi olehNya.

Bagaimanapun, saya akan copy apa yang dikomenkan oleh Steven Sia dan memberikan jawapan : 
Saudara Ikhwan,

Di sini saya ingin bertanya tentang dua perkara seperti berikut:-

1. Mulai sekarang , kamu tidak akan ada apa2 cabaran dan masalah kehidupan lagi.

2. Janganlah kamu menyalahkan dan benci ibubapa kamu, mereka memelukkan patung sampai terlalu kuat dan tidak ingin melepaskannya. Maka mereka akan tidak melepaskan patung sampai bila2 dan enggan datang melihat saya.

Persoalannya ialah adakah anda tidak pernah menghadapi cabaran dan masalah kehidupan selepas ini?

Seperti yang kita semua sedia maklum setiap manusia bakal menghadapi cabaran dan masalah kehidupan di sepanjang hayat mereka tanpa mengira apa jua agama yang dianuti mereka.

Sehingga kini, saya tidak pernah mendengar bahawa ada orang yang tidak pernah menghadapi cabaran dan masalah kehidupan disepanjang kehidupan mereka lagi. Sekiranya saudara ada jumpa orang yang sedemikian maka saya sendiri ingin berjumpa dengan orang itu untuk memastikan kebenarannya.

Untuk soalan kedua , saya percayai adalah tidak menjadi sesuatu yang mustahil sekiranya kedua dua ibubapa anda pada satu hari nanti memeluk agama Islam sekiranya anda membimbing mereka dan sudah pasti dengan kekuasaan Tuhan.

Saya tidak tahu setakat ini ada orang yang lebih berkuasa daripada Tuhan kita di mana ia dapat menjamin kehidupan seseorang itu tidak akan menghadapi cabaran dan masalah kehidupan setelah mengalami mimpi seperti yang dikongsikan oleh anda.

Oleh yang demikian, diharapkan saudara dapat memberikan jawapan kepada persoalan berhubung dengan perkara di atas.

Sekian terima kasih

Mesej Dari Facebook : 

Terima kasih.

Sebenarnya tiada timbulnya soal percaya atau tidak tentang apa yang diceritakan. Apa yang saya ingin tahu ialah bagaimana seseorang manusia dapat memberi jaminan kehidupan tanpa cabaran dan masalah kehidupan sedangkan naik dan turunnya seseorang adalah merupakan adat resam sebuah kehidupan.

Sebagai seorang manusia biasa kita cuma boleh berikthiar dan meminta pedoman hidup supaya kita diberikan segala ilmu untuk menuju kehidupan yang sementara ini. Yang selebihnya Tuhan yang akan menentukan.

Sebenarnya ada banyak persoalan yang akan timbul sekiranya saudara begitu yakin dengan mimpi bahawa saudara telah bertemu dengan rasulullah disebabkan apa yang dikatakan itu sebenarnya melebih-lebihkan Rasulullah daripada Allah sendiri kerana jodoh atau memeluk agama sebenarnya di tangan Tuhan. Tiada manusia yang boleh meramal dan mengetahuai apa yang bakal berlaku. Sebagai contohnya dikatakan ibubapa saudara memeluk terlalu kuat patung dan tidak akan melepaskannya sampai bila-bila juga mempersoalkan kekuasaan Tuhan.

Di sini, kita semua sepatutnya menggunakan akal fikiran yang diturunkan dan menilainya dari segi logik akal dan bukannya mempercayai sesuatu bulat-bulat walau pun saudara telah mendapat kehidupan yang lebih baik setelah memeluk agama Islam.

Daripada apa yang telah saya baca biasanya seseorang yang memeluk agama lain akan melebih-lebihkan agama baru mereka dan cuba mengutuk dan menghina agama orang lain seperti pendakwah bebas Ikhwan Muallaf Sabah. Beliau cukup menghina agama yang sebelum ini dianutinya iaitu agama Kristian di mana beliau dengan megah mengatakan bahawa agama Kristian adalah agama sesat dan juga sanggup berdebat sehingga sanggup mengadaikan kepalanya sekiranya kalah di dalam pendebatan.

Saya merasakan orang-orang sebegini sebenarnya kurang memahami agama Islam sebenar di mana umatnya ditegah mengutuk atau menghina agama orang lain kerana sesungguhnya apa yang terjadi di dunia ini adalah dengan kehendak Allah.

Sebenarnya soal agama adalah berhubung dengan kepercayaan seseorang dan tidak boleh diselesaikan melalui pendebatan. Ia umpama dua orang duduk bertentangan di mana seorang melihat nombor 6 manakala yang seorang lain lagi melihatnya sebagai 9. Jadi itu adalah bergantung di mana kita melihatnya dan masing-masing mempunyai pandangan masing-masing.

Oleh yang demikian, tiada gunanya seseorang cuba menghina agama orang lain hanya kerana ingin menjadi lebih Islam atau jaguh daripada mereka yang lebih awal memeluk agama Islam. Begitulah kelemahan yang begitu ketara yang telah cuba disampaikan oleh saya di Ipoh apabila diberikan peluang untuk berkongsi pendapat.

Sebenarnya saya bersyukur kerana dapat berjumpa dengan mereka semua kerana banyak salah faham yang sebelum ini dapat ditemui lebih -lebih saudara Firdaus yang memberikan banyak penjelasan berhubung dengan agama Islam yang sebenarnya.


Akhir sekali, saya ingin membaca jawapan daripada saudara nanti.

Sekian terima kasih


Kepada Saudara Steven Sia :

Semalam saya tengah MC dan tidak dapat membalaskan jawapan saudara dengan HP sahaja, maka hari ini saya memberikan jawapan dengan sepenuhnya. Saya enggan berdebat bahawa mimpi saya benar atau tidak, kerana saya akan dikatakan sebagai orang muslim yang suka "bermimpi" sahaja. Lagipun petunjuk yang saya memperolehi sebenarnya juga datang dari Al-Quran, maka saya menjelaskan persoalan saudara Steven Sia berdasarkan Al-Quran dan Hadis sahaja. Untuk makluman Saudara, Al-Quran adalah diturunkan dengan ayat Allah SWT yang sungguh tinggi maknanya, walaupun terjemaahan boleh didapati tetapi apabila berlaku perselisihan fahaman tetap perlu merujuk kepada tulisan yang paling asal yakni bahasa arab.

Mengenai cabaran dalam kehidupan.

Sa’ad bin Abi Waqqash radhiyallahu ‘anhu bertanya: Wahai Rasulullah, Siapakah manusia yang paling keras ujiannya? Maka beliau shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:


الأنبياء ثم الأمثل فالأمثل فيبتلى الرجل على حسب دينه فإن كان دينه صلبا اشتد بلاؤه وإن كان في دينه رقة ابتلى على حسب دينه فما يبرح البلاء بالعبد حتى يتركه يمشى على الأرض ما عليه خطيئة


“(Orang yang paling keras ujiannya adalah) para nabi, kemudian yang semisalnya dan yang semisalnya, diuji seseorang sesuai dengan kadar agamanya, kalau kuat agamanya maka semakin keras ujiannya, kalau lemah agamanya maka diuji sesuai dengan kadar agamanya. Maka senantiasa seorang hamba diuji oleh Allah sehingga dia dibiarkan berjalan di atas permukaan bumi tanpa memiliki dosa.” (HR. At-Tirmidzy, Ibnu Majah, berkata Syeikh Al-Albany: Hasan Shahih)



Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta.


(Surah Al 'Ankabuut 2-3)

Jawapannya, cabaran dalam kehidupan saya selepas menganuti Islam adalah lebih berat dan banyak. Semua orang tetap diuji oleh Allah, tetapi apa yang paling penting... Sifat Allah SWT ke-18 daripada Al-Asmaul Husna ialah Maha Memberi Rezeki.

dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

(At-Tallaq : 2-3)

Maka saya percaya petunjuk yang disampaikan kepada saya sebenarnya adalah "Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya)" . Oleh kerana pada masa itu saya tidak pernah membaca Al-Quran, maka saya pun salahtafsirnya sebagai "Tiada cabaran". Maka itulah kesilapan saya dalam menjelaskannya ataupun saya boleh kata tidak mungkin saya boleh menterjemaahkan sesuatu yang tidak pernah melihat dan mendengar kepada perkataan semata-mata. 

Mengenai soalan kedua iaitu  "saya percayai adalah tidak menjadi sesuatu yang mustahil sekiranya kedua dua ibubapa anda pada satu hari nanti memeluk agama Islam sekiranya anda membimbing mereka dan sudah pasti dengan kekuasaan Tuhan."

Memang betul sekali, sekiranya Allah SWT menghendaki... Segala manusia yang atas bumi akan memeluk Islam tanpa berbantah dan perselisihan kefahaman. Ketahuilah walaupun semut juga berzikir kepada Allah SWT kerana ia juga merupakan mahluk Allah SWT.

Dari Abu Hurairah ra, Rosulullah bersabda, "Ada salah seorang Nabi yang singgah di bawah pohon lalu digigit oleh seekor semut. Kemudian ia membinasakannya dan mencari tempat persembunyian semut tersebut. Setelah itu, ia menyuruh untuk membakar tempat tinggal semut tersebut. Kemudian Allah menanyakan kepadanya, "Apakah hanya karena gigitan seekor semut engkau membakar satu umat yang senantiasa bertasbih, mengapa tidak satu semut saja yang engkau bunuh?" (Shahih, HR. Bukhari dan yang lainnya)

Apa yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia ialah Akal Fikiran. Seperti apa yang selalu diberitahu oleh saudara Steven manusia boleh berfikir dan banyak aspek sering dilihat dari segi "Logik". Oleh kerana itu manusia telahpun sering membantah terhadap apa yang tidak masuk akal dan menerima apa yang dikiranya "logik". Sekiranya Allah SWT mengkehendaki, nescaya seluruh manusia di atas bumi dicabut Akal Fikiran dan berhidup atas "Instinct" yang dikurniakan seperti haiwan.

Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?

(Yunus : 99)

Persoalan ini juga ditanya oleh Malaikat kepada Allah SWT kenapa menjadikan orang yang berakal fikiran, bertindak luar dari batas "Instinct" atas kemahuan dan kehendak sendiri.. Sehingga ia boleh sanggup melakukan pembunuhan dan kerosakan atas nafsu sendiri? Juga boleh bersifat riyak dan sombong sehingga melupakan Pencipta dan asyik berseronok dengan dunia yang fana ini? Allah SWT juga menjelaskannya dalam surah ini :

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

(Al-Baqarah : 30) 

Ketahuilah... Manusia itu ialah umat yang satu pada manusia dijadikan (Yakni Nabi Adam), oleh kerana perselisihan sering berlaku atas akal fikiran manusia yang terbatas, maka Allah SWT sering mengutuskan Nabi-nabi (Termasuk Nabi Isa juga dikenali sebagai Jesus oleh Kristian) untuk memperbetulkan petunjuk yang datang dari Tuhan. Manusia adalah mahluk yang paling sempurna di atas bumi, mampu berfikir berdasarkan logik maka sesiapa yang ingin mencari Tuhan yang sebenar-benarnya maka pada akhirnya dia akan menemui Kebenaran yang disampaikan oleh Tuhan.

Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, – mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya).

(Al- Baqarah : 213)

Oleh sebab itu, Hidayah Petunjuk itu sebenarnya dicari-cari oleh manusia sendiri dengan Akal Fikiran. Manusia sendiri berakal untuk memilih segala pilihan dan tindakan dalam kehidupannya. Setiap perbuatan itu datang dari hati sendiri bukannya dalam mode "Automatic". Jadi tentang Ibu Bapa saya tidak memeluk Islam adalah kerana mereka terlalu taksub kepada agama sendiri sehingga saya tidak mampu berbuat apa-apa. Hati mereka telahpun keras daripada menerima kebenaran maka apa yang saya boleh buat hanyalah menjalankan tanggungjawab sebagai anak mereka, bukannya meninggalkan mereka hanya kerana mereka bukan orang Islam. 

Dan Katakanlah (wahai Muhammad): “ Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya*”
(Al-Kahfi : ayat 29)
* Setelah diterangkan bahawa apa yang diwahikan kepada Nabi Muhammad (s.a.w.) itulah kebenaran yang datangnya dari Allah SWT, lalu ditegaskan supaya masing-masing memilih, samada mereka mahu beriman atau kufur.
Seterusnya, saya tidak pernah berkata bahawa manusia mana-mana lebih hebat daripada Tuhan. Saya memohon maaf atas salahfaham yang tertimbul selepas saudara Steven membaca artikel saya. Maka adalah lebih baik saya menjelaskan apa yang terkandung dalam Islam. Sebagai Orang Islam, perkara yang paling pertama yang saya menyakini ialah 2 Kalimah Syahadah :

Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan (yang disembah) selain Allah dan bahawa aku (juga) bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah .

Saya beriman kepada Rasullulah Muhammad SAW, juga kepada 25 nabi yang terkandung dalam Islam. Mereka bukan tuhan dan tidak berkuasa atas segala sesuatu melainkan mukjizat yang dibenarkan oleh Tuhan kepada mereka.

Dan tiadalah yang menghalang orang-orang musyrik itu dari beriman ketika datang kepada mereka hidayah petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi Rasul, sehingga) mereka berkata dengan hairan: “Patutkah Allah mengutus seorang manusia menjadi Rasul?

(Al-Israa' : 94)

Dan tidak Kami mengutus Rasul-rasul, melainkan sebagai pemberi berita gembira dan pemberi amaran; dan orang-orang yang kafir membantah dengan alasan yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan bantahan itu; dan mereka jadikan ayat-ayatku, dan amaran yang diberikan kepada mereka sebagai ejek-ejekan.

(Al-Kahfi : 56) 

Maka sebagai orang Islam, saya tetap beriman bahawa Allah SWT adalah Tuhan dan Muhammad adalah utusan Allah. Saya tidak pernah melebih-lebihkan Nabi Muhammad kerana sebagai orang Islam, Cinta saya kepada Allah SWT adalah tertinggi dan tiada yang lebih daripadaNya. Sekiranya Saudara Steven berminat atas dasar-dasar Islam, dipersilakan membaca Rukun Islam dari sumber yang boleh dipercayai.

Janganlah kamu terlalu menyanjung diriku sebagaimana orang-orang Nasrani menyanjung Isa bin Maryam. Sesungguhnya aku hanyalah seorang hamba. Katakanlah hamba Allah dan utusan-Nya. (RIwayat Bukhari)

Apabila kamu meminta sesuatu, mintalah kepada Allah. Dan apabila kamu meminta pertolongan, mintalah kepada Allah semata (Riwayat Tirmizi)

Dan selanjutnya, mesej Saudara Steven dari Faceboook :
Daripada apa yang telah saya baca biasanya seseorang yang memeluk agama lain akan melebih-lebihkan agama baru mereka dan cuba mengutuk dan menghina agama orang lain seperti pendakwah bebas Ikhwan Muallaf Sabah. Beliau cukup menghina agama yang sebelum ini dianutinya iaitu agama Kristian di mana beliau dengan megah mengatakan bahawa agama Kristian adalah agama sesat dan juga sanggup berdebat sehingga sanggup mengadaikan kepalanya sekiranya kalah di dalam pendebatan.

Secara jujur dan ikhlas saya ingin memberitahu Saudara Steven, tiada pendebatan sebenarnya dalam Islam. Sekiranya ada juga pendakwah dari mana-mana yang melakukannya itu adalah kejahilan dia sendiri. Saya tidak suka berdebat sebaliknya mencari asal-usul agama dan fakta yang dianggap "Logik". Tiada gunanya berdebat kerana saya juga mengetahui ada seorang Benjamin Stephenson juga menghina Islam selepas memeluk Kristian. Saya tidak melihat segala manfaatnya dengan kritikan yang membuta tuli dan ia boleh mencetuskan kemarahan dari penganut agama masing-masing .

Juga, saya sangat menghormati Nabi Isa (Jesus) kerana saya tidak pernah menganggap beliau adalah musuh Islam atau Agama palsu yang dibawa oleh Beliau. Ketahuilah orang Islam tidak pernah membeza-bezakan nabi yang pernah diutus ke atas bumi ini, kami juga beriman adanya kitab Injil/Bible (Yang paling asli). Tiada permusuhan di antara kita kerana semua nabi juga diutus oleh Tuhan yang Satu. (Tauhid)

Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu – Yahudi dan Nasrani – membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata”.

(Al-Baqarah : 136) 

Sebaliknya, saya lebih suka mengenali asal usul agama yang ada di atas bumi. Saya juga mendapati peranan Nabi Isa sebenarnya adalah sebagai utusan kepada kaum Yahudi sahaja... Semua nabi diutuskan untuk membawa Kalimatullah kepada kaum masing-masing, dan Nabi Muhammad adalah sebagai penutup segala nabi juga merupakan rahmat kepada alam semesta, Ajaran Islam yang disampaikan kepada semua manusia tidak terkira apa-apa bangsa pun.

Kedua belas murid itu diutus oleh Jesus dan Ia berpesan kepada mereka, “Janganlah kamu menyimpang ke jalan bangsa lain atau masuk ke dalam kota orang Samaria, melainkan pergilah kepada kambing-kambing yang hilang dari umat Israel.” (Bible Matthew 15: 5-6)

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

(Al-Anbiyaa : 107)  

Sekiranya Saudara Steven berminat, dijemput membaca 25 Nabi dalam ajaran Islam dan cuba memperhatikan setiap Nabi itu dituskan kepada apa kaum? Setiap kaum itu bukan mengikut ajaran Nabi masing-masing yang berlainan selain mengikut ajaran Tauhid yang diutus oleh Tuhan Alam Semesta. 

Saya harap sikap sebahagian orang Islam yang ego dan menghina agama lain tidak terhalang Saudara Steven terus mencari Kebenaran dari segi "Logik". Kerana Allah SWT tidak bergantung kepada mahluk yang serba lemah dan mempunyai ilmu pengetahuan yang terbatas, sebaliknya Allah SWT jua yang menjelaskan SifatNya dalam Ayat Kursi yang paling agung. 

Ayatul Kursi (The Throne Verse)

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya) 

(Al-Baqarah : 255) 


Akhir kata... Inilah jawapan saya kepada Saudara Steven Sia. Terpulang kepada saudara terima atau tidak... Mengenai Mimpi itu, tiada penjelasan boleh diberikan. Allah SWT lebih mengetahui segala sesuatu... Wallahualam.




Recommended Article : 

Why Am I Tested? - SuhaibWebb

No Berdebat Tanpa Ilmu - Love Sunnah

3 comments:

  1. Semoga dipermudahkan segala urusan di dunia dan akhirat....

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum,

    Senang sekali membaca kisah orang-orang yang telah mendapatkan hidayah kepada al-Islam. Semoga Allah SWT selalu menjaga dan menumbuhkan kecintaan mu'minin kepada ISLAM dan semoga para muallaf-muallaf juga mampu menjadi agen perubahan dan membawa Dien al Islam kepada kejayaan sebagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat beliau juga adalah para muallaf.

    Jika berkenan, sudilah untuk merubah paradigma ISLAM dari agama kepada Dien. Kenapa seperti itu ? Kata Agama bukanlah berasal dari Allah dan tidak ada definisi dari Al Quran, sedangkan Dien memiliki definisi yang jelas sebagaimana di terangkan pada ayat-ayat Al Quran. Silahkan di simak artikel tentang makna DIEN pada url blog ini :

    http://jabotabekinfo.blogspot.com/2011/11/makna-dien-ul-islam.html

    Terima kasih. Semoga bermanfaat.

    Wassalam

    ReplyDelete

Assalamualaikum wbt and welcome to my blog...
May contact me via 012-3979998 or email lifemualaf@gmail.com if you have any private message.

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...