Friday, January 20, 2017

Halalan Toyyiban

Siaran di Suratkhabar Metro, 13 Jan 2017

"You tahu tak I sudah berapa tahun tak makan bakkwa? I memeluk Islam pada umur 18 tahun, sekarang umur saya pun sudah 40 tahun.."
"MashaAllah.. Dah 20 tahun lebih! "

"Ya.. Bila tengok fb you kata ada jual halal bakkwa, saya teringin mahu cubanya."

Salah seorang cina muslim yang menelefon saya untuk order halal bakkwa/ayam salai/chicken dried meat dan sambil berbual.. Kami bersetuju memang amat sukar untuk mencari berbagai jenis makanan tradisional cina yang halal. Terutamanya beliau telahpun mencarinya sehingga 20 tahun lebih.

Pernah ada kawan non Muslim yang tanya pada saya adakah masih makan "seperti dahulu" ataupun hanya memilih makanan orang melayu atau mamak saja. "Kamu hidup macam tu bukannya sama dengan vegetarian?" kawan melatah bila saya kata dah lama tinggalkan makanan minuman haram.. Saya juga memahami apakah maksudnya bila dia menyebut "vegetarian" dengan nada sindir, bagi orang yang tak biasa dengan cara permakanan vege, tinggalkan segala makanan daging adalah seumpama hilang nikmat besarnya dan tidak begitu menyelerakan.

Namun saya tinggalkan makanan minuman haram dengan mudah sahaja.. Tiada apa-apa yang menyeksakan. Sebaliknya saya telahpun mengambil masa yang agak lama untuk memahami apakah erti dalam bab halal haram sebelum bersyahadah lagi.

Allah SWT menegah manusia daripada mendekati sebarang perkara yang memudaratkan diri, termasuklah permakanan, etika sosial, rumah tangga, akidah dan sebagainya sehingga membentuk suatu kehidupan yang seimbang (a way of life). Sudah tentu Pencipta amat menyayangi hambaNya dan memberi peringatan kepada kita melalui wahyu al-Qur'an.

Surah Al-Baqara, Verse 173:
إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


Pada waktu saya yakin bahawa Allah SWT adalah Pencipta alam semesta yang benar, sudah tentu hanya Dia Maha Mengetahui apakah yang terbaik untuk diri kita yang daif.. Maka saya terus tinggalkan makanan minuman haram kerana Allah SWT. Ia bukannya suatu penyeksaan dari faktor luar sebaliknya saya melakukannya dengan niat ikhlas yang datang dari hati.

Kerana hati ingin mencari keredhaan Allah dan memahami setiap larangan yang jelas dalam al-Qur'an pasti terkandung hikmahNya.. Dengan keyakinan ini saya tak perlukan segala perdebatan secara saintifik dan teori semata-mata kerana ilmu manusia adalah amat terhad, teori saintifik sering berubah-ubah mengikut pengembangan zaman dan teknologi maka boleh dikatakan ia kurang sesuai untuk menjadi piawaian yang muktamad. (Pernah ada perdebatan seperti katakan ada ubat ajaib yang boleh hilangkan semua kotoran dalam khinzir, adakah khinzir tersebut selamat untuk dimakan? Itu hanya suatu teori untuk mengelirukan revert dan tiada ubat langsung boleh mengubah sifat lahiriah khinzir.)

Citarasa permakanan boleh dikekalkan dengan syarat kita menggunakan bahan masakan yang halal, bersih.. Maka cukup memadai untuk kita menikmatinya. Walaupun telah memeluk lslam, kami tetap berhak untuk mempertahankan citarasa kami dengan mengantikan yang haram kepada halal dalam proses penyediaan makanan. Maka tiada istilah sesiapa yang memeluk Islam itu terpaksa mengubahkan budaya dan citarasa permakanan sehingga menyerupai kaum mana-mana pun.


Halalan toyyiban.

1 comment:

Assalamualaikum wbt and welcome to my blog...
May contact me via 012-3979998 or email lifemualaf@gmail.com if you have any private message.

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...