Thursday, October 25, 2018

Uncle Halim



“Boleh ceritakan sikit kenapa kamu ingin memeluk Islam?” Saya tanya dalam bahasa mandarin kepada seorang uncle yang baru selesai melafaz syahadah di Pejabat Agama. Saya berada di sebelahnya sebagai penterjemah bahasa.

“Saya sejak muda lagi sudah teringin sangat masuk Islam, dulu saya selalu bertanya tentang Islam dengan kawan2 melayu di kampung cina.. Sekarang ni saya pun sudah tua, umur 60 lebih. Baru-baru ni saya jatuh sakit sampai masuk hospital.. Jadi saya tak mahu tangguh lagi niat saya menjadi orang Islam.” Uncle jawab.

Saya diam sebentar.
Semenjak aktif dalam dakwah dan blogging pada tahun 2008, berbagai ragam orang dan situasi pengislaman pernah saya jumpa. Tapi sehingga kini saya masih tak faham bagaimana hidayah taufik dikurniakan kepada hamba Allah.. Ia merupakan rahsia Allah, tiada seorang pun faham bagaimana caranya diberikan ataupun apakah penyebab yang mencetus niat seseorang begitu gigih menjadi Muslim.

Uncle yang berada di hadapan saya ini mempunyai tattoo penuh di lengan dan badannya, bau arak yang amat kuat dari mulutnya, namun pemikirannya sangat faham apa yang saya cuba tanya, kenapa ingin masuk Islam, sejak bila.. Uncle dapat jawab dengan sebaiknya.

"You pun faham macam mana masyarakat cina kita kan? Keluarga paling pantang melihat anak lelaki masuk lslam, kata kita ni lupa akar umbi, 'masuk Melayu' bagai.. Sekarang saya sudah lega lepas jadi Muslim, biar saja apa orang mahu cakap. " Uncle beritahu saya lagi.

Berbanding dengan artis cina yang handsome, segak.. sering berlakon sebagai ‘mualaf’ dalam drama, ayat quran dan hadis sering dibaca menurut skrip drama.. Pada hakikatnya ia hanya lakonan semata-mata, biarpun gaya dan pertuturan penuh ‘Islamic’, artis berikut tetap memilih status Non Muslim dalam realiti hidupnya.

Soal hidayah dan hati adalah urusan Allah.
Orang yang kita melihat dengan mata kasar bahawa beliau penuh potensi memeluk Islam, memakai jubah dan sering tertayang dalam skrin drama, akhirnya tidak menjadi Muslim jua.. Uncle yang dituduh sebagai gila, kurang siuman depan mata saya ini.. pula mampu menjawab dengan penuh sedar bahawa sebelum dia meninggal ingin kembali kepada Islam.

Sekiranya Allah kehendak mengurniakan hidayah taufik kepada seseorang hamba, tiada sesiapa pun dapat menghalangnya. Selama ini saya hanya mampu mempermudahkan proses pengislaman seseorang, namun kuasa menarik seseorang yang jahil kepada pangkal Muslim.. Ia tetap ketentuan daripada Allah SWT sahaja.

Allah SWT berfirman:

اِنَّكَ لَا تَهْدِيْ مَنْ اَحْبَبْتَ وَلٰـكِنَّ اللّٰهَ يَهْدِيْ مَنْ يَّشَآءُ ۗ وَهُوَ اَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِيْنَ
"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)."
(QS. Al-Qasas 28: Ayat 56)

Uncle Halim bin Abdullah telah kembali kepada rahmatullah 6 bulan selepas mengucap syahadah. Semoga Allah tempatkan Uncle Halim di syurga firdaus.

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum wbt and welcome to my blog...
May contact me via 012-3979998 or email lifemualaf@gmail.com if you have any private message.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...