Syukur Alhamdulilah, Komen saya telah dipaparkan dalam Majalah Solusi No.20 . Saya tak terfikir apa yang saya menulis boleh dipilih sebagai salah satu komen dalam Majalah Solusi terbaru... Bagaimanapun saya meletakkan email asal saya di sini sebagai kenangan. (Thanks to editor Solusi remarks my spelling mistakes... )
Assalamualaikum kepada syarikat penerbit majalah solusi.
Alhamdulilah, saya menemui majalah solusi dengan keizinan Allah swt. Sebenarnya saya adalah seorang Muallaf yang berbangsa cina, saya memeluk islam pada tahun 2008 bulan Ramadhan. Demi mencari ilmu yang datang daripada Allah swt, saya sering mengunjungi kedai buku islam. Bagaimanapun, adalah amat menyukarkan bagi saya memahami kandungan yang terdapat dalam buku agama kerana saya masih kabur dengan berbagai istilah ayat yang merujuk kepada Al-Quran. (Seperti Dajjal, Yakjuj dan Makjuj, Minda Muslim Power) Bagaimanapun saya tetap berusaha atas niat saya yang teringin mendalami Agama Islam dengan sedaya upaya.
Saya juga membeli majalah yang berdasarkan agama islam, tetapi saya rasa amat kecewa kerana kandungannya dicampur aduk dengan pandangan penulis tanpa merujuk kepada Al-Quran dan Hadis Rasullulah. Walaupun saya masih dalam pembelajaran Fardu Ain tetapi saya juga mengetahui jika terdapat segala persoalan atau perselisihan hendaklah merujuk kepada Al-Quran dan Hadis Rasullulah sahaja. Memang tidak dinafikan majalah islam lain amat menghiburkan, tetapi bagi saya tiada manfaatnya membuat prasangka semata-mata tanpa dalil yang kukuh.
Suatu hari pada tahun lepas, saya menghadiri kursus kerajaan dengan menaiki bus ekspress ke Negeri Melaka. Sebelah saya adalah seorang lelaki melayu yang saya tidak kenali. Kami tidak sembang sehingga dia ternampak saya membeli majalah islam di stesen petrol dalam pertengahan jalan. Maka dia mula menanya nama saya dan bagaimana saya tergerak hati memeluk islam.
“Kamu patut beli Majalah Solusi, harganya mahal sikit tetapi kamu boleh mendapati info islam yang lebih tepat.”
Inilah perbualan yang saya tidak boleh melupai sehingga saya tamat kursus dan balik negeri asal menjalankan tugas kerja saya. Saya masih teragak-agak membeli Majalah Solusi kerana anggapan saya terhadap majalah di Malaysia ialah : “ Betulkah ada majalah islam yang sejati wujud di Malaysia? Bukankah Majalah hanya mementingkan pasaran dengan memasukan info hiburan yang merepek?”
Sehinggalah Tahun 2010 bulan februari, saya pergi ke kedai buku mamak dan menanyakan peniaga : “Sini ada jual Majalah Solusi ke?”
“Adik, Majalah Solusi baru habis. Majalah tu banyak orang beli, kalao u mahu boleh datang minggu depan.”
Saya rasa agak kecewa dan hampir berputus asa membelinya, tiba-tiba makcik tu keluarkan sebahagian majalah yang diletak tepi rak buku. “Kami ada edisi yang lama punya, u boleh tengok-tengok. Saya boleh bagi diskaun RM1.” Maka saya pun meneliti setiap edisi yang ada, saya mendapati tajuk yang pada muka hadapan majalah amat menarik. “Ingatlah! Mati itu datang tiba-tiba, Ikhlas dalam bekerja, Hidayah kompas kehidupan” dan sebagainya. Yang paling menarik minat saya ialah isu Hidayah, saya sering kali diucapkan taniah kerana mendapati hidayah. Malah, apabila saya menanya orang apakah itu Hidayah? Jawapannya ialah “Hidayah ialah Petunjuk.”
“Pentunjuk? Maknanya saya dapat petunjuk.. Maka kenapa petunjuk boleh dikatakan sungguh susah didapati? Apa yang dimaksudkan dengan petunjuk sebenarnya?” orang yang saya menanyai terdiam.. saya pun segan nak menyambung perbualan lagi.
Maka saya berusaha mencari info di internet, mencari buku islam yang menyentuh isu Hidayah, mendengar Khutbah semasa Sembahyang Jumaat dan sebagainya. Akhirnya saya hanya dapat sedikit info di internet mengenai 5 peringkat Hidayah, tetapi saya masih kurang memahaminya kerana tiada huraian yang lebih jelas. Lagipun amat sukar mencari info di internet kerana saya pernah ditipu oleh blog yang tidak bertanggungjawab, iaitu konon-kononnya puasa sunat sebelum bulan rahmadhan merupakan hukum haram.
Akhirnya, saya hanya membeli satu majalah solusi yang menyentuh isu Hidayah sekadar percubaan membaca. Selepas membacanya, saya menitis air mata bersendirian dalam rumah kerana saya telah memahami betapa agungnya Hidayah yang datang daripada Allah swt. Ketua Editor Solusi telah memberikan saya gambaran keseluruhan terhadap Hidayah, dengan cara penyampaian yang menarik dan senang difahami. Syukur alhamdulilah kerana saya menjumpai jawapan yang mencari-cari selama setahun lebih dalam Majalah Solusi.
“Erti” Allah dalam Akidah Islam, edisi 12, yang ditulis oleh Ustaz Mohd. Nidzam Abd. Kadir juga sungguh bermakna kepada saya, kerana saya sering mencari info mengenai Kalimah Allah dalam surat khabar dan Forum Internet tetapi akhirnya hanyalah pendapat penulis sendiri semata-mata tanpa dalil. Ustaz Mohd. Nidzam mampu memberi huraian berdasarkan ayat dalam Bible dan Al-Quran adalah amat berinfomatif.
Selepas itu, saya kembali ke kedai buku itu dan membeli beberapa naskhah Majalah Solusi yang lama. Malangnya, saya hanya sempat beli 6 edisi yang lama kerana kehabisan stok.
Selain itu, Majalah Solusi amat mudah difahami. Kamus Istilah amat berinfo bagi saya, isu mendidik anak juga berguna kerana saya baru dikurniakan cahaya mata yang berumur 4 bulan. Boleh kata saya umpamanya membaca seluruh buku agama yang ada dalam kedai buku dengan sepintas lalu.
Akhir kata, saya email kepada Syarikat Majalah Solusi bukannya mengharapkan sebarang hadiah ataupun disiarkan komen dalam majalah. Saya hanya ingin mengucap syukur alhamdulilah dan terima kasih kepada Syarikat Telaga biru, Ketua Editor Solusi En. Pahrol Mohamad Juoi, Kolumnis serta semua yang terlibat dalam usaha menjayakan penerbitan Majalah Solusi. Saya harap Majalah Solusi boleh teruskan pernebitan info Islam yang sejati tanpa melibatkan cerita merepek. Jika boleh, saya ingin menempah edisi lama yang ada untuk tujuan pengumpulan. Harapkan Syarikat Telaga Biru boleh menawarkan perkhidmatan tersebut. Saya memohon maaf atas segala kesilapan tatabahasa yang ada dalam email saya. Sekian, assalamualaikum…
Ikhlas daripada,
Ikhwan Ng