Friday, March 31, 2017

Nama Islam Di Negara China

Cardboard Syahadah terjemahan cina yang dihadiahkan oleh Muhammad Zheng
"Bilakah anda memeluk Islam semasa masih berada di China?" beberapa tahun lepas saya sempat berkenalan dengan seorang China Muslim di masjid cina, Ipoh. Beliau bersalam dengan saya dan kami mula berkenalan.

"Saya pun kurang pasti apakah tarikh sebenar saya memeluk Islam. Sebab saya tak perlu berdaftar dengan kerajaan China pun.. Yang penting saya telah menjumpai kebenaran dalam Islam, kemudian saya terus menjadi Muslim.. Kira-kira tahun lepas mcm tu saya menekad untuk bersolat bersama jemaah."

Muhammad Zheng berpakaian jubah putih dan serban, mukanya berseri dan bertutur bahasa mandarin yang asli.. Tiada sebarang campuran bahasa inggeris ataupun bm. Saya gemar berkenalan dengan Muslim yang berasal dari luar negara, daripada perbezaan kebudayaan kita boleh melihat persamaan yang kita dapat capai sebagai umat Islam.


Salah satu isu yang saya suka kaji adalah nama dan identiti. Saya tidak ingin huraikan isu nama yang hangat di Malaysia, sekadar berkongsi "identiti" bagi orang Islam yang berada di negara China.

Secara amnya, kerajaan China melarang sebarang promosi agama dan tiada pendaftaran bagi sebarang kepercayaan agama. Dimana kebanyakan kaum Muslim adalah dikira kaum minoriti yang berada di China, mereka tidak diiktiraf sebagai orang China asli yang dikategorikan sebagai kaum Han (汉族). Suku kaum Muslim adalah sehingga ratusan kaum, kaum Hui (回族) hanyalah salah satu suku Muslim yang terbesar. Mereka adalah keturunan daripada kahwin campur diantara penduduk China dan Arab amnya.. Namun daripada kacukan perkahwinan ini menjadikan China Muslim fasih bahasa mandarin dan bahasa arab.

Bagi China Muslim mereka mempunyai "Nama Rasmi" dan "Nama Islam". Nama asli adalah seperti nama cina kebiasaannya yang terdiri daripada 3 perkataan cina, perkataan pertama melambangkan nama keluarga. Nama Rasmi ini akan didaftarkan dalam kad pengenalan dan passport sebagai prosedur rasmi dalam China.

Bagaimana pula dengan "Nama Islam"? Kerajaan China melarang promosi agama termasuklah penukaran nama yang jelas melambangkan identiti agama.. Maka sesama China Muslim mereka tetap mempunyai Nama Islam yang dijadikan sebagai panggilan sahaja tanpa sebarang rekod rasmi. Tujuannya adalah penghormatan sesama muslim dan memohon keredhaan daripada Allah SWT.. jika berurusan dengan non muslim baru mereka memberikan nama rasmi/nama cina.

China Muslim tidak mempunyai hak untuk bersuara dalam bab nama dan dakwah.. Sebarang ideologi agama akan dilihat sebagai ancaman dalaman kepada institusi negara China. Fenomena ini telah menjadikan orang yang memeluk Islam adalah sangat sedikit di China kerana tiada "usaha dakwah" atas sekatan kerajaan dan.. Tiada "kepentingan atas nama".

Menjadi seorang Muslim di China akan diejek sebagai "masuk Hui", yakni bukan lagi seorang penduduk China dan cuba asimilasi dirinya kepada kaum berasingan. Bila Reverted Muslim ini cuba bergaul dengan kaum Hui yang lahir Islam, kadang kala diperlekeh pula kerana latar belakang China Reverts ini yang penuh dengan "sejarah silam" dari aspek makan minum.

Kenapa orang China sendiri pun begitu payah nak jadi Muslim tapi masih ada juga yang kembali kepada jalan Allah? Sebabnya hanya satu, mereka telah menjumpai petunjuk yang tiada sebarang keraguan dalamnya. Inilah persamaan yang sungguh jelas bagi kesemuaan reverts yang bersyahadah dengan ikhlas.. Tak kira apa-apa kesusahan pun bukannya halangan bagi mereka.

Berbanding dengan Malaysia, China tidak memberikan peluang langsung untuk rakyatnya memiliki "Nama Islam".. Jadi bersyukurlah kerana isu nama Reverts sentiasa dikaji semula di Malaysia, sama ada nak kekalkan nama asal ataupun ditambah nama Islam di depan nama asal.. Kerajaan Malaysia sentiasa memberi sokongan dan dorongan dalam mencapai persefahaman. Jabatan Pendaftaran Negara telahpun memberi kenyataan rasmi bahawa jika Kad Islam yang didaftarkan dengan Pejabat Agama Negeri tertera nama asal, maka tiada halangan untuk update status agama di atas kad pengenalan sebagai Islam tanpa sebarang penukaran nama asal.

"Kenapa orang cina di Malaysia masih sangat sedikit yang memeluk Islam? Saya tak nampak sangat pun jemaah cina datang ke masjid ni.." Muhammad Zheng bertanya dengan saya.

Saya hanya mampu gelak dan senyap.. Mentaliti masyarakat Malaysia adalah sangat rumit untuk difahami berbanding dengan erti syahadah yang padat terlalu mudah diabaikan begitu saja. Saya tidak mampu fikirkan sebarang jawapan baginya kerana soalannya begitu ringkas bagi Muhammad Zheng yang berasal dari negara China, susah pula saya nak jawabkan bagi pihak negara Malaysia.


Lain padang, lain belalang.

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum wbt and welcome to my blog...
May contact me via 012-3979998 or email lifemualaf@gmail.com if you have any private message.

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...